Thursday, October 10, 2013

Mengemosikan spiritual - sesuaikah?

"Mengapa selepas program itu, yang menangis tidak jauh kesannya?"
"Saya tak nak pergi program itu lagi. Asyik kena nangis je.."

Apa yang berlaku dalam trend dunia motivasi atau latihan di mana peserta cuba elakkan untuk hadir kerana akan 'menangis'? Apa yang berlaku apabila guru mengharapkan penceramah mampu 'menangiskan' anak murid mereka?



Ukur spiritual guna emosi

Menangis adalah kayu ukur emosi. Apabila tergenang air mata itu kerana mengingatkan kesilapan lalu atau betapa diri tidak bersyukur atau terasa kehebatan Allah, itu adalah air mata spiritual.

Namun adakah layak seorang trainer atau penceramah memasangkan lagu-lagu syahdu untuk 'memainkan emosi' peserta hingga 'ingin menangis'?

Atau lebih dari itu, dimainkan emosi dan spiritual untuk merasakan 'diri ini tiada apa', kemudian dibangkitkan semula diri peserta dengan input yang ingin disampaikan oleh penceramah? Perlukah dibuang air keruh dalam gelas untuk diisi dengan air baru? Atau cukup dengan menambah kebaikan demi kebaikan dalam isi ceramah dan latihan agar yang keruh akan cair dan keluar jua akhirnya?

Ukuran spiritual dari Nabi

Mengukur spiritual itu penting. Namun biarkan si individu itu sendiri berinteraksi dengan Tuhannya. Selaku seorang guru atau jurulatih, yang mampu diusahakan ialah hidayah al-bayaan. Gunakan potensi fizikal, intelek dan emosi yang patuh kepada syariat Allah untuk membawakan hidayah al-bayaan. Hidayah at-taufeeq hanya dari Allah - yang mengizinkan seseorang mendapat hidayah untuk berubah. Nabi membawakan hidayah al-bayaan kepada Abu Talib, namun hidayah at-taufeeq tidak sampai. Abu Talib menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan bukan Islam.

Bagaimana ukur spiritual?

Hanya Allah yang dapat mengukurnya.Taqwa menjadi aras kemuliaan di sisi Allah. Allah sahaja yang tahu. Sebagai trainer atau guru, yang mampu kita bawa ialah ilmu dan perasaan untuk menghargai semua aspek spiritual - dengan asas syariat yang benar. Kita tidak mampu mengukur atau rasa : 'hidayah sudah sampai. Beliau akan berubah'. Yang patut dilaksanakan oleh trainer: doakan untuk si trainer dan peserta mendapat hidayah at-taufeeq.

Lantas apakah kayu ukur untuk mengesan spiritual? Dalam alQuran dinyatakan ayat berikut tentang salah satu kesan spiritual:

Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (8:2)

Dalam ayat di atas, ada dua perkara sebagai kayu ukur:
  1. Gementar hati ketika mendengar nama Allah
  2. Bertambah iman apabila dibacakan ayat Allah.
Mampukah trainer menggetarkan hati peserta ? Tidak mampu kecuali dengan izin-Nya. Sesuaikah digetarkan dengan muzik atau diherdik peserta atau dibacakan kuat-kuat ayat Quran kepada peserta? Bukan itu caranya untuk hati rasa gementar di peringkat spiritual. Dibaca ayat al-Quran dengan cara terbaik dari segi syariat adalah berpada.

Selain itu, bawakan contoh bukti dari segi ilmu, sejarah, eksperimen, kajian serta aktiviti yang boleh membangkitkan intelek dan emosi bagi menghargai Allah. Ia akan memberi ruang 'privacy' kepada peserta dalam program untuk gementar hati dan bertambah iman tanpa perlu diletakkan mikrofon ketika merintih 'ampunkan aku Ya Allah' atau bertanya 'siapa yang ingin sujud kerana terasa kehebatan Allah' dalam slot yang dilaksanakan. Hubungan iman ialah antara seorang insan dengan Pencipta-Nya. Tiada trainer atau guru yang mampu 'menaikkan iman' seseorang apatah ingin melihat kesan getaran dan 'peserta saya sudah bertambah iman'.

Dalam ayat di atas, ini kesan iman. Iman ialah aspek spiritual yang perlu dibina mengikut acuan sunnah Nabi dan dilaksanakan semata-mata kerana Allah - bukan kerana ingin menunjukkan si trainer atau penceramah itu hebat 'menangiskan orang ramai' tanpa tangisan itu datang dari dalam - spiritual.

Selain itu, kita boleh memerhati kesan spiritual dalam kehidupan berdasarkan hadis 7 golongan mendapat lindungan:

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima : Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :
‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada golongan ke-7 dalam hadis di atas, diingatkan tentang insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menisitiskan air mata. Ini ialah kesan yang besar hasil dari iman - dari dalam. Muzik adalah sumber luar yang boleh 'membina mood' sedih atau sesal. Namun kekuatan spiritual sebenar ialah apabila tiada muzik, masih ingin memikirkan hal diri dan berbalik kepada Allah. Muzik atau kata-kata dari penceramah adalah dari sumber luar yang cepat menukar situasi, namun ia tidak 'natural' dalam dunia sebenar. Dunia pendidikan dan training perlu dielakkan dari menjadi pentas drama atau filem semata-mata. 

Kesan mengemosikan spiritual

Spiritual ada naik turunnya. Apabila aspek spiritual seperti rasa berTuhan, ingin bersyukur atau rasa berdosa yang dipelajari itu hadir dalam bentuk sumber emosi luar, ia tidak berpanjang lama. Malah ada yang merasakan 'saya perlu pasang muzik tertentu kerana ingin menangis ketika mendengar ayat Quran, berdoa atau bersolat seperti mana dirasai dalam program'. 

Kesan pendidik yang mengemosikan spiritual mengakibatkan si peserta akan mencari si guru atau penceramah atau ceramah selepas hadir ceramah. Apabila bersendirian atau memimpin diri sendiri, akan rasa lemah dan tidak mampu 'menitiskan air mata' sehebat dalam ceramah yang mengemosikan spiritual. Atau semua perkara perlu nampak dalam bentuk emosi - tanpa menghargai disiplin ilmiah dan keilmuan yang kekadang dianggap kasar (walaupun itu benar jika tidak disulam dengan akhlak dan emosi yang baik).

Perubahan dalam hidup bukan sekadar willpower, tetapi perlu disekalikan dengan waypower. Dalam program, peserta akan terkesan dengan apa yang disampaikan - maka si jurulatih perlu melengkapkan waypower atau how-to untuk peserta ini akan terus mencari dan mengembangkan willpower yang sudah dibina dalam program. Waypower yang jelas oleh peserta akan melahirkan peserta yang terdidik dan terlatih, bukan sekadar menunggu 'what's next program'. Siapa yang boleh untung dengan fenomena 'whats's next program'? Sudah tentu trainer, penceramah atau tokoh motivasi. Kita perlukan lebih ramai individu 'what's to do next?'

Usaha ini perlukan pencerahan demi pencerahan, dan ia perlu bermula. Moga Allah membantu kita semua untuk mampu mendekatkan diri kepada-Nya dengan kefahaman yang jelas.

2 comments:

  1. apa pandangan ttg bro Fazrul mengenai hadith ini?

    Bersikaplah kepada Tuhanmu selayaknya seorang yang sangat memerlukan diriNya.Banyaklah menangis kepada Allah.Jika tidak boleh menangis, Berpura-pura la menangis kerana Rasulullah SAW bersabda : “Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis” (Hadis riwayat At-Tabrani)

    Adakah ia tangisan bukan dari spiritual?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Bro Syamil melawat.

    Saya nampak itu semua adalah tangisan atas sunnah - membawa nilai spiritual - yang diusahakan oleh setiap individu tanpa dipaksa atau disuruh oleh orang luar. Allahu a'lam.

    ReplyDelete