"Saya makin yakin selepas ke program tersebut."
"Saya berazam untuk berubah selepas menghadiri seminat itu."
Apakah yang disentuh oleh seorang trainer dalam sesuatu program? Fizikal, intelek dan emosi. Namun yang utama ialah aspek intelek dan emosi. Manakah spiritual? Itu hubungan manusia dengan Tuhan, tidak mampu disentuh oleh mana-mana manusia. Kalau ingin menyentuhnya, ia boleh dilaksanakan dengan memberikan sentuhan fizikal, intelek atau emosi yang mengikut kepercayaan dan spiritual yang terbaik.
Kesan trainer ingin mengawal spiritual
Apakah kesan kalau trainer ingin 'mengawal' spiritual peserta? Berikut ialah antara ciri-cirinya:
- Trainer ingin melihat perubahan berlaku di depan mata
- Trainer tidak selesa kalau ideanya dipersoalkan
- Trainer tidak suka kalau ada peristiwa di mana peserta tidak bertindak mengikut apa yang beliau suruh atau inginkan
- Trainer tersebut ingin 'aktiviti ibadah' dibuat di depan beliau dan memulangkan kredit kepada diri sendiri.
- Trainer mahu dirinya sahaja didengari, dan tidak selesa kalau ada nama lain disebut
Teras kepada cabaran di atas ialah hati si trainer - samada ikhlas untuk Allah atau berhasrat mendapat perhatian dari manusia. Ini cabaran besar yang perlu difahami oleh setiap trainer. Ia tidak nampak secara langsung, namun pada jangka masa lama, ia akan mewujudkan kerosakan dalam sesuatu modul atau organisasi jika tidak diberi perhatian. Spiritual bukan lagi pilihan untuk trainer. Ia adalah kewajipan untuk diperhatikan bagi melahirkan modul dan model yang baik.
Modul intelek dan emosi ke arah spiritual
Modul latihan yang baik ialah yang mampu menghargai intelek dan emosi untuk membawa peserta mendapat pengalaman spiritual. Spiritual bukan sekadar bermaksud 'tenang' dan seperti 'Bujang senang', tetapi ia mengajar kita untuk memahami sunnatullah dan syariatullah dalam kehidupan agar terus tenang melaksanakan kebaikan. Tenang itu tetap wujud di dalam kekabutan dan deras manusia yang 'menolak' kita dalam hidup seharian.
Kalau yang diajar itu ialah kemahiran komunikasi dan menyebabkan seseorang itu tahu teknik yang betul (sunnatullah) dan dalam masa yang menjaga syariat Allah (syariatullah), itulah spiritual.
Kalau yang diajar itu ayat Quran dengan kaedah yang baik (sunnatullah) dan isi yang betul untuk beribadah (syariatullah), itulah spiritual.
Kalau yang diajar itu kemahiran komunikasi (sunnatullah) tetapi tidak disekalikan dengan sunnah Nabi atau melaksanakan sesuatu yang ditegah, itu bukan spiritual.
Kalau yang diajar itu ayat al-Quran dengan kaedah yang baik bersama Power Point (sunnatullah) tetapi isinya berkaitan bagaimana membaca potensi diri dengan mengira huruf dalam al-Quran atau surah tertentu (bersalahan dengan syariatullah), itu bukan spiritual.
Intelek dan emosi tanpa spiritual
Adakah modul yang hadir dengan intelek atau emosi tetapi tidak ada nilai 'spiritual'? Tidak mungkin sesuatu itu 'spiritual free' - jika seorang trainer memahami potensi diri manusia ini meliputi aspek fizikal, intelek,emosi dan spiritual.
Cuma apabila hadir ke program Stephen R Covey, sudah tentu bab ketuhanan atau spiritual ini kurang disentuh. Peranan si peserta untuk mengolah sendiri untuk mengaitkannya dengan syariatullah. Ia sedikit sukar, namun boleh dilaksanakan. Apabila peserta banyak ilmu syariatullah, ia akan mampu merumuskannya. Namun bagi yang tidak ada atau kurang ilmu syariatullah, ia akan menyukarkan situasi apatah kalau modul yang dibawa itu mencabar kepada nilai spiritual dalam agama Islam. Ramai trainer yang mengambil modul dan kaedah dari Barat yang menggunakan kaedah ini. Risikonya? Pada peserta yang mendengar.
Peserta akan pulang dengan kemahiran yang pelbagai, tetapi bab spiritualnya belum tentu terisi. Intelek dan emosi yang baik akan menjana spiritual yang baik. Modul dengan asas intelek sahaja dengan tidak mengambil kira perspektif spiritual yang benar akan mudah untuk 'tergelincir'. Kefahaman spiritual trainer akan memberi kesan kepada modul yang akan disampaikan.
Sebagai contoh, seorang trainer akan berkata: "Kata Saya Boleh!" Peserta akan menjerit "Saya Boleh!!!"
Realitinya? Boleh itu dengan inayah dan tawfeeq dari Allah. Ia perlu ditambah menjadi "Saya boleh, insha Allah."
Contoh lain: "Kita perlu yakin pada diri sendiri untuk berjaya." Yang patutnya "Kita perlu yakin pada potensi yang Allah sudah berikan kepada diri kita."
Dalam contoh di atas, perkataan yang tepat melambangkan intelek yang baik. Jika ia diujarkan dengan nada dan santun yang sesuai, itu melambangkan emosi yang baik. Isinya berbeza antara trainer yang berfokuskan kepada asas spiritual yang jelas atau tidak.
No comments:
Post a Comment