Friday, June 14, 2013

Elakkan spiritual dimaterialkan

Cabaran akhir zaman ialah apabila materialisme menutupi spiritualisme. Teras ini diperhatikan dalam Surah al-Kahf. Zaman dahulu, orang Yahudi menjadikan syariat sebagai aspek materialisme, bukan untuk membawa kepada spiritual taqwa. Apakah kesannya? Mereka memfokuskan hukum-hukum fizikal sahaja, padahal taqwa tidak dijadikan output yang diidamkan. Hanya fokuskan kepada fizikal dan intelektual solat. Syariat tidak lebih kecuali rutin fizikal dan intelektual. Tandus emosi apatah lagi spiritual.


Bagaimana dunia pendidikan dan latihan?

Sejarah membuktikan bagaimana sekumpulan manusia yang ingin menghormati tokoh ilmu dan agama mereka. Caranya ialah dengan membina patung agar mereka boleh ingat kepada Tuhan apabila memerhatikannya. Patung adalah salah satu unsur fizikal. Mengingat Tuhan ialah aspek spritual. Target mereka ialah untuk mencapai spiritual dengan perantaraan fizikal patung. Generasi yang faham tiada masalah. Lambat laun, generasi seterusnya menyembah si patung.

Dunia fizikal perlu memahami unsur spiritual. Namun dalam masa yang sama, sumber spiritual itu jadgan difizikalkan atau dimaterialkan. Apakah perkara-perkara yang boleh membawa kepada mematerialkan spiritual?

Berikut ialah antara ciri-cirinya:

1. Tajuk spiritual untuk dikomersilkan

Jika sesuatu produk itu dijual dengan nama 'Air Bacaan Surah al-Kahf' untuk mengelakkan fitnah akhir zaman, ini ialah contoh tajuk spiritual untuk produk fizikal. Nama-nama atau terminolgi spiritual perlu diletakkan pada tempatnya.

Mengambil ibrah Nabi & Tentera Khandaq tidak menjadi masalah kerana ini ialah aspek ilmu atau intelektual. Namun kalau ada syarikat yang menjual 'Komunikasi Gaya Nabi & Tentera Khandaq', ini contoh istilah spiritual yang didagangkan.

2. Proses difizikalkan untuk mencapai spiritual

Apa maksud proses fizikal? Kita menggunakan akal sendiri untuk memilih mana-mana unsur fizikal bagi mencapai spiritual. Dalam al-Quran dan as-Sunnah ada disiplin ibadah. Apabila sesuatu itu tidak ada asas sahih dalam al-Quran dan as-Sunnah, ia dianggap luar. Ia diletakkan dalam kerangka fizikal atau material.

Sebagai contoh, untuk rasa lebih syukur (aspek spiritual), simpan seketul batu dalam beg. Apabila lupa rasa syukur, pegang batu tersebut. Ini ialah contoh proses untuk mencapai spiritual dengan menggunakan objek fizikal.

Atau menggunakan bau atau bunyi tertentu untuk mendapatkan 'spiritual'.

3. Butiran fizikal dispiritualkan

Ada tarikh lahir? Ada nama? Ada no plat? Ada darah? Contoh aspek ini ialah apabila tarikh lahir dapat membaca masa depan anda. Ikut kaedah ini: nama dan darah dapat membaca masa depan anda.

Masa depan atau ketentuan qadha qadar ialah aspek spiritual. Jangan disentuh kerana ia adalah ruang ilmu Allah. Ia untuk difahami, bukan diketahui secara tepat. Yang wajib untuk manusia ialah usaha. Sentiasa bermohon kepada Allah, bukan meletakkan butiran A atau B sebagai penentu kehidupan.

Mencari aspek spiritual yang praktikal

Aspek spiritual perlu dipraktikkan dalam kehidupan. Trainer atau pendidik perlu mencari aspek praktikal. Ini mempunyai kaedah yang tertentu. Apabila kaedah silap, aspek praktikal itu sudah bersalahan dengan dunia spiritual terutama apabila merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Aspek fizikal ada disiplinnya. Aspek spiritual ada disiplinnnya. Menjadi tanggungjawab pendidik dan jurulatih melihat samada disiplin itu dipatuhi atau tidak.

No comments:

Post a Comment