Dalam dunia latihan, ada 3 belon kecil yang akan membina satu belon besar. Belon besar itu akan makin membesar. Syaratnya? 3 belon kecil itu dibesarkan dari semasa ke semasa. Makin besar belon besar, makin baik kualiti latihan yang anda bawa. Kalau tahun lepas belon besar berdiameter 10 cm, tahun ini wajar ia menjadi 12 cm atau 14 cm. Belon besar tidak akan membesar dengan sendiri. Belon-belon kecil yang akan membesarkan belon besar. 3 belon kecil itu ialah Content (C), Marketing (M) & Event Management (E).
Sebagai seorang trainer atau fasilitator, hal ini perlu difikirkan selalu. Belon C biasanya difikirkan ketika latihan makin mendekat. Belon M diselidik dan dinaiktaraf selepas habis program atau mungkin juga semasa program untuk melihat peluang latihan akan akan datang bersama klien yang ada. Belon E diperhatikan bagi memastikan perjalanan program dengan baik dan efisien.
Ada yang harap belon besar membesar sendiri
Mengharap belon besar membesar sendiri memang amat menarik. Namun ia tidak semudah itu. Ia memerlukan bantuan 3 belon kecil untuk membesar. Kalau ditiup juga kepada belon besar tanpa melalui belon kecil, ia mungkin membesar. Tapi akhirnya angin itu akan berlalu pergi dengan mudah. Belon besar akan mengecil.
Kalau belon kecil dibesarkan, ia akan memberi kesan kepada belon besar. Ia memudahkan kita sebagai trainer untuk memajukan syarikat kita.
Majukan dengan belon kecil
Usaha untuk majukan syarikat sendiri dengan meniup belon kecil amat praktikal. Ia memberi kesan berikut:
- Kita mampu membezakan mana satu yang perlu diberi keutamaan. Kekadang kita sering hadir program membesarkan belon C, tetapi tidak belon M atau E.
- Ia memberi panduan kita mencari rakan kongsi atau strategik. Kalau anda sudah mahir membesarkan belon C, cari rakan yang mahir membesarkan belon M atau E. Kalau tidak dilaksanakan, modul makin baik tetapi ia tidak dipasarkan dengan baik.
- Buku yang anda baca perlu disesuaikan untuk membesarkan belon C, M atau E. Jangan asyik baca buku untuk membesarkan belon C, sehingga diabaikan buku untuk membesarkan belon M atau E.
- Kalau anda ingin fokus kepada belon C, jangan diabaikan aspek M dan E dalam mengembangkan bisnes. Jika tidak dibuat, selepas 4 atau 5 tahun, belon besar anda dipandang sepi. Mengapa? Ia berat dengan belon M atau E yang tidak bertiup.
Kesan belon kecil yang kecil
Jika belon kecil C tidak membesar, modul anda tidak mampu bergerak jauh. Ia mudah 'dipangkah' oleh pakar-pakar.
Jika belon kecil M anda tidak membesar, modul anda baik tetapi ia tidak mampu masuk pasaran luas.
Jika belon kecil E anda kecil, modul anda tidak berjalan dengan lancar walaupun isinya bagus dan ada peserta yang ingin mengikutinya. Feedback nanti tidak berapa cemerlang.
Manakah belon kecil yang besar dalam syarikat anda?
No comments:
Post a Comment