Sunday, August 16, 2015

Tadabbur Untuk Jurulatih dan Pendidik

"Modul aku bukan ajar al-Quran pun."
"Tadabbur ini untuk personal sahajakah?"

Tadabbur ialah memerhati secara mendalam kandungan isi al-Quran sebagaimana dinyatakan dalam Surah Shadd ayat 35

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (38:29) 


Sebagai seorang penceramah, trainer atau pendidik, anda mengajar. Ada dua pilihan:

  1. Mengajar berteraskan idea sendiri atau yang dibaca daripada pelbagai buku
  2. Mengajar berteraskan panduan dari Ilahi
Kaedah 1 mungkin akan membawa kepada Kaedah 2. Kaedah 2 pasti akan menyaring idea Kaedah 1 agar ia selari dan konsisten dengan apa yang Allah bawakan.

Contoh Kaedah 1 

Sebagai contoh, seorang trainer menyatakan 

"Mana ada stres. Katakan sahaja "Tiada stres". Stres itu hanya apabila kita bayangkan. Kalau kita tidak bayangkan, ia akan selesai. Saya tidak membuat program 'Pengurusan Stres". Kalau nak modul ini, kena cari dari orang lain. Saya tidak mahu stres. Kita perlu berfikir positif"

Benarkah begitu?

Ini contoh apabila seorang trainer menyatakan dengan menggunakan idea sendiri.

Bagaimana perspektif al-Quran tentang perkara ini?

Pengurusan Stres dalam al-Quran

  • Bayangkan Ahmad pernah diancam bunuh.
  • Kemudian Ahmad dibela majikannya.
  • Setelah besar, Ahmad pergi ke pasar.
  • Sampai di sana, ada 2 orang bergaduh. Ahmad ingin menolong. Beliau tertolak dan jatuh mati salah seorangnya.
  • Ahmad meninggalkan kawasan itu.
  • Tidak lama selepas itu, Ahmad diminta untuk bertemu bekas majikannya tadi untuk menjadi konsultan kebaikan dan kejayaan.

Streskah situasi ini? Sudah tentu. Gantikan nama Ahmad dalam kisah di atas dengan 'Musa'

Ini dirakam dalam Surah asy-Syuaara Surah 26
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim. (10) Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu? (11) Nabi Musa merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku. (12)Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya dia membantuku). (13) Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku. (14) Allah berfirman: Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu mendengar. (15) 
Dalam ayat di atas, Allah memberi jalan penyelesaian bagaimana menguruskan stres.

Kepentingan Tadabbur

Contoh di atas ialah kepentingan tadabbur dalam membina modul dan menyatakan isi motivasi atau pendidikan. Tanpa asas tadabbur dan mendalami isi al-Quran, apa yang disampaikan akan menjadi sia-sia dan berteraskan agakan semata-mata.

No comments:

Post a Comment